Penantian selama 89 tahun untuk membawa Piala Malaysia ke Kelantan berakhir sudah.Kegemilangan Kelantan dalam kancah bolsepak negara pada beberapa tahun belakangan ini begitu memuncak.Hasil gabungan kerja,komitmen, dedikasi pada tugas, disiplin yang kental, kerja keras dan keinginan yang begitu membara telah membuahkan hasil.Hari ini Piala Malaysia diarak dengan penuh meriah ke Kota Bharu. Pengorbanan semua pihak,Kerajaan Kelantan,pengurusan KAFA, pegawai pasukan dan pemain serta penyokong serba merah yang begitu setia dengan pasukan menjadi ramuan cukup ampuh sehingga Kelantan ditabalkan JUARA Piala Malaysia pada tahun ini.
Sebagai rakyat Kelantan, anugerah gelaran 'DATUK' untuk Ketua Jurulatih Kelantan,serta anugerah kebesaran yang lain untuk pegawai yang lain, Pingat Jasa Kebaktian [ PJK] untuk semua pemain mungkin satu yang wajar. B.Sathianathan bukan satu nama yang asing dalam bolasepak negara,beliau pernah membawa Malaysia menjadi juara Pestabola Merdeka,banyak mencurahkan jasa dan bakti dalam prmbangunan bola sepak negara.Di Kelantan, keringatnya begitu mahal.Dia menghadapi pelbagai tentangan dari pihak2 tertentu yang cuba menangguk di air keruh hasil kerjanya yang unggul.Hari ini dia berjaya menobatkan Kelantan menjadi sebuah pasukan yang wajar digeruni.
Dedikasinya pada tugas tidak mampu dinafikan, akhirnya dia berjaya membawa Kelantan ke persada bola sepak tempatan.Kini Kelantan bukan lagi satu pasukan yang boleh dipandang ringan.Selama ini Kelantan hanya digeruni dalam Piala Emas Raja-Raja sahaja,kejohanan Piala Malaysia, Kelantan bukanlah satu pasukan yang digeruni.Namun di tangan B.Sathianathan,nama Kelantan menjadi harum dan mula diiktiraf menjadi pasukan yang perlu diberi perhatian.
Lebih berharga dan bererti bilamana Kelantan dinobatkan sebagai pasukan terbaik di Malaysia pada tahun ini.Kegemilangan bola sepak negara mula dilonjakkan oleh gelombang lautan merah penyokong Kelantan.Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sentiasa sesak dan penuh dengan penyokong fanatik The Red Warriors.Kemeriahan dan kerancakan bola sepak lebih terasa bila melihat pasukan serba merah ini bertandang ke mana-mana venue perlawanan.
Ilmu bola sepak yag ada dalam diri B.Sathianathan perlu dipergunakan untuk kegemilangan bola sepak Kelantan supaya kekal di persada kejuaraan.Kalau boleh jangan ada tangan2 jahat yang cuba mengambil kesempatan untuk merosakkan pasukan Kelantan selepas ini.Pengurusan KAFA perlu menumpahkan kepercayaan kepada wibawa Sathia kerana dia adalah seorang jurulatih yang cukup dedikasi dengan tugas,tahu kerjanya dan tahu apa yang dia buat. Dia bercakap dengan ilmu bukan bercakap dengan teori.
Amat elok kalau Sathianathan bergelar 'datuk', pegawai2 lain dan pemain juga diberi anugerah yang setimpal.Kalau pun bukan dari Istana Kelantan mungkin juga Presiden FAM boleh menganugerahi Sathianathan dengan gelaran 'datuk' sebagai menghargai jasanya dalam bola sepak negara.
Tahniah B.Sathianathan,tahniah KAFA,tahniah pemain The Red Warriors dan terima kasih kepada kerajaan Kelantan atas sokongan dan cuti peristiwa untuk semua rakyat Kelantan.Selamat merayakan kemenangan membawa pulang piala rebutan ke negeri Kelantan Darul Naim.Railah sepuas-puasnya.
No comments:
Post a Comment