Friday, November 19, 2010

INTIPATI KHUTBAH HARI INI : Kaya di dunia,muflis di akhirat

Antara intipati kandungan khutbah di sebuah masjid yang penulis menyempurnakan solat Jumaat tadi ialah 'Ramai yang kaya di dunia tetapi muflis di akhirat'. Tidak dinafikan hari ini terutama di negara Malaysia umat Melayu dan Islam sudah ramai yang kaya,kaya raya, jutawan,hartawan dan bilionaire. Masing-masing punya harta,aset kekal dan aset mudah alih. Macam-macam harta yang mereka kumpul,baik secara betul mahu pun secara haram.

Merujuk kepada kandungan khutbah tadi, kaya di dunia,muflis di akhirat bukan sahaja merujuk kepada mereka yang hanya kaya harta tetapi tidak beramal soleh namun ia juga merujuk kepada mereka yang kuat beramal,banyak bersedekah dan juga berbuat kebaikan.

Mereka yang kaya di dunia dengan pemilikan harta yang melimpah ruah andai tidak mempunyai amal kebaikan yang banyak untuk di bawa ke akhirat maka itu MEMANG SAH muflis di akhirat.Tiada siapa lagi dapat membantu mereka di 'sana'.Sendiri punya tau dan sendiri punya tanggung la.

Cuma yang paling mustahak untuk difikirkan di sini ialah mereka yang memang kaya raya, berkuasa, punya pangkat yang tinggi, pengikut yang ramai, pengaruh yang hebat, beramal soleh, banyak buat kebajikan dan kebaikan namun dalam waktu yang sama mereka ini merampas,menyamun hak orang sesuka hati, menyakiti, memukul,mencedera, membunuh, merompak dan macam-macam lagi. Bagi mereka yang banyak beramal jika sifat dan perilaku mereka banyak membuat kesalahan dengan orang lain, menipu, putar alam, mencederakan orang, menyakiti orang lain,di akhirat kelak mereka yang menjadi mangsa tadi akan menuntut hak mereka.

Oleh itu segala amal kebajikan mereka di dunia akan digunakan untuk membayar semua kesalahan mereka di dunia.Andai semua pahala sudah habis digunakan membayar atau menebus kesalahan di dunia dan tidak ada apa-apa lagi yang boleh digunakan untuk menebus kesalahan mereka maka segala dosa orang- orang yang pernah menjadi mangsa mereka di dunia akan ditanggung oleh mereka.Inilah dinamakan kaya di dunia,muflis di akhirat.

Begitu juga para pemimpin yang punya kuasa,pangkat dan kedudukan yang tinggi di dunia namun jika mereka sering kali memfitnah, menuduh, menyiksa,menipu, merampas hak rakyat sesuka hati,menyamun dan merompak untuk kumpul kekayaan dengan cara yang salah maka di akhirat kelak, semua kebaikan,kebajikan dan pahala yang mereka ada akan digunakan untuk membayar semua kesalahan mereka semasa di dunia.Akhirnya semua pahala yang ada akan kehabisan setelah digunakan untuk menebus semua kesalahan di dunia.Setelah itu, semua dosa yang pernah menjadi mangsa kerakusan kuasa dan pengaruhnya sewaktu di dunia akan dipikul oleh pemimpin berkenaan. Mereka ini akhirnya menjadi muflis di akhirat.

Mereka yang beramal soleh,banyak kebajikan,seorang dermawan juga tidak terlepas dari muflis di akhirat jika selama mereka hidup di dunia mereka juga banyak melakukan kesalahan sesama manusia.Muflis di akhirat tiada siapa dapat membantu.Masing-masing membawa diri di hadapan Rabbul Jalil.

Miskin dan susah di dunia masih ada pihak-pihak yang sudi membantu.Makanan,pakaian, tempat tinggal dan seumpamanya akan ada insan yang prihatin membantu.Ada sanak saudara untuk meminta pertolongan atau bantuan.Sedangkan di akhirat, sanak saudara, rakan taulan tidak boleh membantu kita.Amal jariah sudah habis untuk menebus kesilapan dengan manusia di dunia.Maka kemuflisan di akhirat tidak mampu ditepis lagi. Menanti saat pembalasan Allah sahaja.

Namun begitu sangat sedikit pada hari ini manusia yang berkuasa, berharta, berpangkat dan berkedudukan tinggi memikirkan soal muflis di akhirat.Masing-masing tamak mengejar harta di dunia tidak mempedulikan soal halal atau haram.Asalkan mendatangkan kekayaan atau keuntungan maka semuanya boleh.Sedangkan bila kembali menemui Ilahi, segala yang terkumpul di dunia licin dan kosong.Semuanya telah diguna untuk membayar segala kesalahan di dunia. Lebih teruk lagi terpaksa pula memikul segala dosa orang-orang yang pernah dianiaya sewaktu di dunia.

Beringatlah sebelum mati.Semak dan check semua harta, semak semua kekayaan apakah dikumpul,dimiliki dengan jalan yang benar. Semak juga perilaku kita,apakah kita pernah melakukan kesilapan dengan orang lain,pernahkah kita menyakiti orang, memfitnah orang, membohongi orang, mengkhianati orang, apatah lagi kalau membunuh orang.Jika pernah melakukannya,bertaubatlah segera.Ubahlah sikap.Mati itu bila-bila masa boleh mendatangi kita.



No comments:

Post a Comment