Friday, November 12, 2010

HUJAN PAGI

Tika dan saat ini
titisan jernih berturutan
jatuh membasahi bumi

Tersenyum pepohonan menghijau
kehausan mereka untuk meneguk
rahmat Ilahi
puas dan penuh bererti

Menerjah keheningan pagi
penuh kedinginan
suasana seakan muram
flora dan fauna
seperti terdiam
mungkin kesejukan.

Hiruk pikuk di kota kosmopolitan
terhenti seketika
deruman enjin kenderaan
menjadi lena
deretan kereta seperti tentera
sedang berbaris memulakan latihan

Hujan menyejukkan bahang
kepanasan maksiat yang bermaharajalela
Hujan adalah rahmat dari-Nya
Hujan banyak rahsia
kalau berterusan
alamatnya banjir melanda
tenggelam segalanya

Hujan seketika
banyak manfaatnya
hidupan dan tumbuhan
pasti bergembira
sang katak pasti bersahutan
kecuali katak-katak politik sahaja

Hujan pagi
melenakan yang sedang tidur
hujan pagi makin
memalapkan jiwa manusia
yang diulit nestapa
yang malas berlipat ganda
yang liat makin mengada
yang curi tulang alasan berjela
itulah rahsia
dari hujan
pemilik Maha Mulia
hamba-Nya beralas rupa

Namun hujan pagi
mengingatkan daku
pada si dia
pernah bertakhta dan terus
bertakhta

Akan ku sayanginya
sehayatku ada.
kiranya tempias membasahi
pipimu
itu tandanya aku sedang
merindui mu.


ANAFAKIR
Jumaat, 5 Zulhijjah 1431 Hijriah
Kuala Lumpur.
_________________________________

No comments:

Post a Comment