Wednesday, October 13, 2010

SIKAP PENYOKONG, MEMALUKAN...

Sikap dan telatah penyokong bolasepak Kelantan yang terkenal dengan nama  "The Red Warriors" sekali lagi mencetuskan gelombang kemusnahan.Kalau dulu pemainnya yang panas baran,silap sikit dalam padang pasti mereka akan berkejaran,menumbuk lawan dan seumpamanya.Sekarang sikap pemain di padang begitu berdisiplin,sehingga mutu permainan pun makin menyerlah. Kejayaan demi kejayaan berjaya diraih dalam tempoh 5 tahun belakangan ini.

Namun,sikap terpuji pemain tidak mampu dihayati penyokong di luar padang.Pantang ada provokasi atau sengaja mencetuskan masalah maka bertaburan segala benda yang mampu dibaling.Kerusi, botol, besi,batu dan apa sahaja yang layak dilayang ke udara maka akan melayang membabi buta mencari sasaran.Sikap berani tidak bertempat ini sudah acap kali menimbulkan masalah kepada pengurusan stadium dan pengurusan KAFA [ Persatuan Bolasepak Kelantan ] itu sendiri.Denda dan kompaun sudah acap kali terpaksa dibayar.

Malam kelmarin, sikap penyokong Kelantan sekali lagi ditayangkan di Stadium Shah Alam.Nasib baik keputusan berkesudahan seri.Kalau Kelantan menang lebih-lebih lagi kalau kalah,rasanya potensi pergaduhan lebih besar mungkin tercetus.Darah tok janggut dalam setiap jiwa anak Kelantan itu wajar dipuji cuma mereka silap tempat.Sepatutnya sifat itu perlu semasa berperang mempertahankan agama dan negara bukan bergaduh hanya dek sedikit ejekan,provokasi bersifat psikologi dalam sukan.

Bagi mereka yang mendalami bidang sukan, pasti strategi untuk melemahkan semangat melawan pasukan lawan dilakukan dengan pelbagai cara.Psikologi dalam sukan memainkan peranan penting baik untuk memotivasikan pasukan dan melemahkan semangat pasukan lawan.Ejekan,cemuhan, sorakan, dan seumpamanya adalah sebahagian dari perang saraf pasukan masing-masing.Sikap penyokong di luar padang juga sebahagian dari pendekatan untuk melemahkah semangat melawan.Sebaliknya perang saraf melalui ejekan,kata-kata membangkitkan kemarahan telah diterima secara emosional dan tidak rasional.Akhirnya berlakulah perang mulut, baling membaling objek.Bagi yang kurang sabar maka mereka akan bertindak di luar batas.

Perang saraf penyokong yang melampau selalunya akan membawa kepada keburukan dan kerosakan yang bernilai ratus ribu tinggit.Tuan rumah akan menanggung beban kerugian dan denda jika apa yang terjadi akibat kelemahan pengurusan keselamatan tuan rumah.Kali ini penyokong Selangor dan Kelantan bergaduh sehingga di luar stadium.Dalam padang dua pemain dibuang padang.Satu dari pasukan Kelantan,satu lagi dari Selangor.

Jumaat ini,Kelantan pula akan menjadi tuan rumah.Kerosakan dan kemusnahan bakal menelan ratus ribu ringgit jika Kelantan tewas.Lebih2 lagi jika prestasi permainan Kelantan seperti perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu. maka sah Stadium Sultan Muhammad Ke-IV akan porak peranda.Acap kali pemimpin persatuan dan pemimpin politik peringkat negeri memberi nasihat,namun masuk telinga kanan keluar telinga kiri.Umpama mencurah air ke daun keladi.Tidak meninggalkan bekas.

Satu Malaysia sudah tahu fi'il penyokong Kelantan,walau di mana,sikap mereka seperti bermain di laman sendiri.Degil,keras kepala, emosional, berani dan 'gedebe' tidak bertempat gara-gara kesalahan kecil pun boleh membuatkan seluruh stadium bergegar.Tidak dinafikan penyokong Selangor juga memainkan peranan ke arah mencetuskan pergaduhan penyokong Kelantan pada malam kelmarin.Cuma selalunya penyokong "The Red Warriors" tidak perlu dicetuskan api kemarahan mereka kerana mereka memang membawa obor kebengisan tidak bertempat itu di mana2.

Semangat kesukanan dalam kalangan penyokong di negara ini masih di tahap rendah.Masih belum belajar dari sikap penyokong luar negara.Pasukan kesayangan mereka tewas pun,mereka masih rasional.Memberi sokongan tidak kira masa.Tidak memberontak membabi buta,tidak  membaling objek sesuka hati.Diprovokasi atau tidak, penyokong bolasepak luar negara khususnya negara Barat kekal seperti biasa.Tenang dan matang.Sepatutnya sikap inilah yang wajar ditiru,walaupun budaya barat wajar kita jauhi namun sikap dan semnagat kesukanan mereka wajar dipuji dan disanjung.

Isu penyokong Kelantan merusuh sering mendapat liputan media masa terutama Kelantan pula diperintah oleh golongan ulama' maka lagi ada sebab untuk babitkan isu politik.Mencemuh MBnya, mencemuh exconya sebab mereka ini dari kalangan orang beragama tetapi gagal mendidik penyokong bola sepak lebih berdisiplin.Sedangkan penyokong itu belum tentu menyokong PAS sepenuhnya.Mungkin terlibat atau bercampur dengan pelbagai fahaman politik namun pihak media yang berpihak tidak memandang itu semua.Mereka lebih puas jika dapat menyindir atau mengaibkan seorang tokguru atau ulamak.

Dalam sukan pun mereka masih mencari ruang untuk berpolitik.Sedangkan keganasan dalam sukan ini tidak memandang siapa pemimpin sebab emosi dan sikap baran ini lebih berkaitan dengan didikan dan asuhan ibubapa masing-masing.Didikan terawal bermula dari rumah.Anak itu umpama sehelai kain putih,terserah kepada ibubapanya untuk mencorakkan anak-anak.Pemimpin cuma membentuk secara umum kerana rebung yang sepatutnya dilentur dari awal sudah menjadi buluh.

Untuk renungan, penyokong Kelantan diseru supaya bersikap lebih profesional untuk perlawanan seterusnya.Melayan tetamu [ Selangor ] selayaknya sebagai adat orang bertamu. Memuliakan mereka sekadar termampu bukan menunggu mereka dengan hamburan kata2 hina dan nista.Biarlah kekalahan dalam sukan ditentukan secara sukan dan mengikuti adat pertandingan.Kalah,menang dan seri itu selalu menjadi penamat perlawanan.Pasukan Kelantan,pemimpin KAFA,pengurusan stadium dan pasukan keselamatan memikul tanggungjawab besar untuk mempastikan perlawanan timbal-balik di Kota Bharu ini berkesudahan dalam suasana penuh ukhwah dan saling bermaafan.

Selangor dan Kelantan satu kiblat politik. Dipimpin dan ditadbir oleh pasukan politik yang sama iaitu Pakatan Rakyat, takkanlah satu 'team' pun nak bergaduh dan bermusuhan sehingga membawa mudarat.Pesan Presiden KAFA jika ingin melihat Kelantan menang jangan cetuskan isu dan membuat sebarang aksi yang membawa pergaduhan atau kekacaun dalam stadium.Setuju dengan pesanan itu,kerana apa yang berlaku dalam kalangan penyokong boleh menganggu penumpuan pemain terhadap 'game'. .Bantu pemain untuk terus bersemangat dan menunjukkan aksi seorang juara bukan melemahkan kosentrasi mereka.

Kelantan perlu mengulangi rekod tahun lalu iaitu mara ke final malahan kalau boleh menebus kekecewaan gagal menjulang Piala Malaysia.Tahun ini,peluang Kelantan lebih cerah jika tidak bertemu Selangor di final.Kekalahan Selangor di Kota Bharu bakal mencerahkan peluang Kelantan untuk muncul juara.Buat penyokong fanatik The Red Warriors, teruskan membangkitkan semangat pemain,berikan sokongan yang benar2 padu,semoga pemain dapat membuat jaringan dan memenangi perlawanan Jumaat ini.Jaga perangai,jaga tindak tanduk,kurang beremosi,tingkatkan prestasi.

GOMO KELATE GOMO...

Ambo pun anak Kelate jugak,malu weh kalu mene tapi kapung tergadai.Biar berani bertempat.Tu baru sengoti.

No comments:

Post a Comment