Thursday, November 4, 2010

TAHNIAH UMNO-BN, PR PERLU BERMUHASABAH DIRI

Seperti dijangkakan, UMNO-BN telah diumumkan pemenang untuk PRK Batu Sapi dan Dun Galas.Diharapkan semua janji, semua projek pembangunan yang telah diucapkan di pentas-pentas kempen perlu dilunaskan segera. UMNO-BN perlu segera menunaikan semua janji.Janji-janji di Galas terutamanya, UMNO-BN melalui Ku Li perlu menepati janji.Kata mesti di kota.Jgn suka berjanji, jangan suka gula-gulakan rakyat.Penduduk Galas mungkin telah memberi peluang untuk UMNO-BN bernafas semula,namun jika UMNO-BN tidak bersedia untuk tunaikan janji-janji terhadap orang Asal [ orang asli ] di Galas terutamanya maka sekali lagi UMNO-BN sengaja mencari nahas.

UMNO-BN perlu mempastikan semua janji di Dun Galas ditunaikan dalam waktu terdekat.Hospital Gua Musang perlu segera disiapkan,jangan lagi menjadi projek tertangguh,terbengkalai dan diberikan pelbagai alasan selepas ini.Begitu juga dengan janji-janji lain, isu tanah orang Asal, janji2 pembangunan kecil yang lain juga perlu dilunaskan seberapa segera yang boleh,setidak-tidaknya sebelum PRU13 nanti.Jika sehingga tempoh itu UMNO-BN tidak menunjukkan tanda-tanda ingin menunaikan janji,maka jangan menyesal jika rakyat menolak UMNO-BN sepertimana dalam PRU 2008 yang lalu.Jangan jadikan syarat, kemenangan dalam PRU13 untuk UMNO-BN bersedia menunaikan segala janji dalam PRK kali ini.Jika syarat seperti itu diulang tayang semula,pasti rakyat akan menolak UMNO-BN semula.Sudah jenuh rakyat dipermainkan dengan janji-janji manis sebegitu.

Senaraikan sudah berapa banyak janji yang telah ditunaikan dan janji-janji yang belum ditunaikan.Kalau UMNO-BN menuduh pembangkang tidak berupaya menunaikan segala janji kerena mereka tidak berkuasa di peringkat pusat maka UMNO-BN yang sedang berkuasa di sana perlu membuktikan mereka mampu untuk menyediakan semua kebajikan dan keperluan rakyat.Pembangunan fizikal perlu segera dilakukan.Jangan bermain dengan retorik secara keterlaluan.Jangan menabur janji sesuka hati. Rakyat sudah lama dipersenda.Pembangunan rohani juga perlu seimbang dan selari dengan kehendak agama.

Sebelum menjelang PRU13, segala janji UMNO-BN untuk rakyat selama ini perlu ditunaikan segera. Hayat untuk PRU13 makin hampir.Jangan berdolak dalik lagi.Masa makin suntuk.Keadaan makin terdesak.Jika tidak, kegagalan UMNO-BN menunaikan segala janji di Galas dan Batu Sapi akan dijadikan modal kempen pembangkang dan akan dikaitkan dengan segala kegagalan pembangunan yang dijanjikan UMNO-BN di tempat-tempat lain di Malaysia.Parah akan menimpa UMNO-BN andai terbukti janji UMNO-BN tidak ditunaikan.Rakyat akan melihat UMNO-BN hanya suka berjanji utk menang sahaja setelah kuasa diperoleh maka janji hanya tinggal janji.Rakyat akan mengajar UMNO-BN nanti.

Buat pakatan pembangkang,sekaranglah masanya untuk muhasabah diri. Sekaranglah masanya untuk PAS,DAP dan PKR untuk duduk semeja berbincang hati ke hati kerana  tanda-tanda pengundi mula rujuk kepada UMNO-BN terserlah di Galas,undi Cina kepada UMNO-BN juga makin memberangsangkan.Mungkin kegagalan Pakatan Rakyat untuk memperlihatkan mereka boleh berkongsi kuasa dan mentadbir dengan baik sejak 2008 lalu telah menyebabkan rakyat hilang keyakinan. Pertelagahan demi pertelagahan yang terjadi terutama dalam PKR sejak pemilihan parti tersebut berlangsung juga mungkin menjadi sebab rakyat hilang keyakinan terhadap pembangkang.Pelbagai kelemahan,kekecohan dan sikap tidak cerdik dalam kepimpinan PKR menjadi duri dalam daging kepada pakatan pembangkang. Jika keadaan dalam PKR berterusan, maka masa depan Pakatan Rakyat tidak lama.Hayat mereka akan  menjadi lebih singkat.

Pakatan Rakyat perlu segera muhasabah diri mereka, perlu mencari titik pertemuan, perlu berbincang mencari kata sepakat yang lebih tulus, jujur dan saling mempercayai untuk mengekalkan momentum sebelum siren PRU13 dibunyikan.Persahabatan dalam Pakatan Rakyat perlu dipereratkan.Kesepakatan dan kekuatan ikatan keyakinan dalam Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan lagi.Sikap terlalu vokal menghentam sesama sendiri perlu dielakkan.Sebarang kelemahan, percakaran dan pertelagahan pendapat serta sikap memaki hamun lawan perlu dihapuskan segera.Politik jakun dan tidak bertamadun hendaklah dijauhkan.Rakyat tidak minat dengan politik memburuk-burukkan lawan terutama melibatkan isu peribadi.

Serangan peribadi yang melampau akan makan diri sendiri.Belajarlah dari sikap Tengku Razaleigh,beliau keturunan istana, seorang anak raja, golongan bangsawan, seorang yang hidup dalam kemewahan, mendapat kedudukan yang tinggi dalam saf kehidupan masyarakat namun sikapnya tidak angkuh,tidak sombong, tidak meninggi diri.Beliau bersikap merendah diri, bersifat merakyat, masih sedia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan rakyat jelata.Tidak mementingkan darjat,tidak kekok untuk minum di warung-warung, tidak dikelilingi oleh mereka yang berpenampilan korporat,mengamalkan cara hidup yang bersederhana, ramah dan sentiasa mendekati rakyat terbanyak.Khalayak begitu senang dan merasa dihargai bila bersama Tengku Razaleigh.Sikap inilah yang telah membuatkan UMNO menang dengan selesa di Galas.

Sebagai seorang pemimpin, siapa pun yang ingin menjadi pemimpin, baik dalam UMNO-BN mahupun dalam Pakatan Rakyat, style dan gaya Ku Li itulah yang perlu diteladani.Contoh kehidupan yang ditonjolkan Ku Li adalah antara contoh pemimpin yang mampu menarik hati rakyat.Cara dan perwatakan Ku Li menjadi resepi yang cukup lazat untuk dinikmati jika resepi tersebut berjaya dihayati. Sikap merendah diri yang jelas tergambar di wajahnya menjadikan Ku Li dihormati dan disegani. Ku Li tidak berpura2,tidak hipokrit, benar2 tulus dan jujur dengan perwatakannya selama ini.Bukan untuk menang dalam pilihanraya tetapi itulah peribadi dirinya sejak lama dahulu.

PAS tidak boleh bergantung dengan aura TGNA sahaja kerana hayatnya pun kalau dikira ikut hukum adat sudah di penghujung.Garis penamat untuknya bergelar pemimpin dan insan makin didekatinya.TGNA sendiri menyedari hakikat tersebut.Kalau dahulu DSAI menjadi pemangkin untuk Pakatan Rakyat menyaingi UMNO-BN, rasanya sekarang DSAI menjadi  liabiliti kepada pakatan pembangkang.DSAI tidak habis-habis mengundang kontroversi,baik secara fitnah atau memang silap dirinya sendiri.Sekarang Pakatan Rakyat perlu segera mencari tonik yang mujarab selain aura TGNA dan ketokohan DSAI sebagai pemimpin reformasi.Pakatan Rakyat perlu mencari pendekatan yang lebih lunak dan mempunyai magnet yang lebih kuasa menarik untuk memikat hati rakyat terbanyak.

Persaingan PRU13 seperti menjadi medan pertandingan aura diri dan kualiti  peribadi setiap calon untuk memenangi pilihanraya tersebut.Calon-calon dan parti yang diwakili perlu menyediakan sesuatu ruang dan hamparan pengaruh sepertimana yang terdapat pada kualiti diri Tengku Razaleigh.Pemimpin Melayu perlu  menjadikan Ku Li sebagai contoh perawakan dan perwatakan.Sikap sombong diri,angkuh dengan kuasa, merasa diri hebat dan merendah2kan peribadi orang lain akan menjadi madu beracun.Manis tapi membunuh.

Kemenangan yang diraih UMNO-BN perlu diraikan secara bersederhana, jangan angkuh dan merasa rakyat benar2 telah kembali ke pangkuan mereka.Di sebalik kegembiraan itu terselit juga lorong-lorong derita jika tidak berhati.Setiap kegembiraan itu diikuti kesusahan di belakangnya.Jangan keterlaluan meraikan kemenangan,jangan  terlalu seronok menikmati 'harta rampasan' dalam perang kerana sikap tamak dan haloba akan memakan diri.Begitu juga dengan pakatan pembangkang, kekalahan ini ada hikmah,ada pengajaran untuk direnungi bersama.Ada kebaikan di sebalik kekalahan ini.Ada berita gembira dalam setiap kesusahan dan derita yang dialami.Jangan bersedih,jika redha dan berlapang dada dengan ujian Allah,maka Allah akan memberi kemenangan terbesar dalam hari-hari mendatang.Allah itu Maha Adil.Allah itu Maha Bijaksana dalam menguruskan kuasa pemerintahan-Nya. Kemenangan yang diterima bukan semata-mata kemenagan mungkin ada racun di dalamnya,dan kekalahan itu bukan semata-mata kekalahan mungkin ada penawar ajaib yang maha mujarab dari Allah untuk hamba-Nya yang bertaqwa.


No comments:

Post a Comment