Thursday, February 18, 2010

KELUHAN SEORANG RAKYAT

Ternoda dan terburai
insan dan kemanusiaan,
dek kerakusan tubuh
bernama ahli politik
hujah, bukti, keraguan melampau
melewati kewarasan hakiki
maruah tergadai
membusuk bernanah membuak
menusuk hidung rakyat terbanyak
derap langkah tetap angkuh
dengan kepalsuan kuasa yang terjajah
dek nafsu amarah dan dengki
beraja di mata bersultan di hati

Buruk dan jijiknya
sebuah kuasa, meraja melela
membunuh sebuah kebenaran,
kemenangan dan kekalahan terbukti
dengan tebal dan nipis
sehelai kertas bernama wang
nafsu duniawi menyentap sopan
dan adab budi manusia
hilang timbang tara
hilang akal budi
hilang ilmu berkuasa
ternoda kerana
pangkat dan harta

Membisu semua
mereka bergelar YB
berlumba, berlari membabi buta
merembat, merempuh
segala noda.
ada mata cuma melihat kuasa
ada mata cuma melihat harta
ada mata cuma melihat kepentingan
sedara,
kroni dan terdekat sahaja

Hina mulia
manusia terjajah kerana alpa
sekelumit harta..harta rakyat terjual
tapi percuma
kaya rayalah mereka yang bergelar si jaga
terkulai jua yang tertidur dan terlena
dek sebiji gula-gula
bernama rasuah
terbeliak mata,ngantuk terus terjaga
layu kembang semula
nafsu yang tadinya tak bermaya
bangkit menerjah tetiba

Bilakah mereka bergelar pemimpin
walau parti mana pun mereka
andai agama disama dengan dunia
alim ulamak menjadi hina
akal sempurna hilang warasnya
dah kaya terus tamak haloba
harta, harta dan harta
rakyat di bawah terbiar merana
andai tidak tersedar dari lena dunia
pertiwi dijaga terlepas percuma
warga puncak kuasa
dilanyak secukup rupa,
ditipu, dianiaya secara hina,
masih ada lagikah
mereka bernama pemimpin
mampu melihat keluhan rakyat
menongkah arus kuasa
rasuah menjalar usus manusia
menghumbangkan jiwa raga
sehina-hinanya.

No comments:

Post a Comment