Monday, December 6, 2010

ULASAN ISU : Pelacuran dalam kalangan pelajar IPT

"Industri pelacuran" adalah antara industri tertua dalam dunia [ sejak Zaman Jahiliyah ].Dalam mana-mana negara, masyarakat atau bandaraya kebanyakannya terdapat manusia yang "menjual diri " [ menjadi pelacur ].Atas apa alasan sekali pun kegiatan melacur ini adalah haram.Dan hari ini, kegiatan pelacuran ini baik secara suka rela atau terpaksa makin membiak.Semuanya berpunca daripada hasil pulangan yang lumayan.Lebih-lebih lagi ada tangan ghaib yang berkuasa dan berpengaruh menjadi tempat bergantung para ibu dan bapa ayam melakukan urusan niaga jijik ini.

Hari ini, masyarakat dicetuskan pula dengan isu pelacuran melibatkan pelajar IPT.Pelbagai sumber diberi untuk menjadikan pelacuran dari kalangan 'student' pusat pengajian tinggi ini melacurkan diri.Desakan hidup, terpaksa kerana ingin membiayai perbelanjaan pelajaran dan macam-macam lagi.

Cuma jika benar kegiatan pelacuran dalam kalangan pelajar IPT ini benar dan terbukti benar [ memang benar wujud pun ] maka kerajaan sepatutnya merasa 'malu', perlu merasa terpukul dan mereka perlu ambil tanggungjawab ini.Mungkin kesilapan kerajaan sehingga berlaku desakan hidup di kalangan pelajar.Masalah perbelanjaan untuk menampung pengajian memungkinkan mereka menjual diri.Ada sesuatu yang tidak betul dalam sistem pendidikan negara maka insan yang bakal diserahkan masa depan negara sudah tewas awal.

Kalau hari ini mereka berani dan rela melacur diri apakah tidak mungkin bila mereka memiliki kuasa atau kedudukan mereka ini akan 'melacurkan' jawatan dan pangkat mereka pula.Mungkin negara pun mereka sanggup lacur.Semuanya tidak mustahil.Demi kemewahan, demi ingin nampak bergaya, ingin nampak kaya dan berstatus maka asalkan wang dapat dikumpul,maruah diri sudah tidak ada harga lagi.

Harga maruah diri boleh menjadi RM100 atau RM200 atau lebih berdasarkan persetujuan antara pihak penawaran dan permintaan.Silap-silap mungkin percuma bila suka sama suka.Dan itulah yang sebenarnya terjadi hari ini.Pergaulan bebas yang terjadi dalam kalangan pelajar IPT terlihat di mana-mana.Ego kerana mereka beranggapan mereka cerdik, sudah bijak berfikir maka mereka bebas lakukan apa sahaja hatta maruah [melacurkan diri ] bukan kesalahan tetapi boleh dijadikan sumber untuk hidup mewah.

Status mereka sebagai insan yang sedang berada di pusat pengajian tinggi maka harga diri yang ditawarkan akan menjadi lebih tinggi.Makin tinggi ilmu akademik maka makin tinggi nilai RM yang mereka dapat.Ditambah lagi kalau ada rupa paras maka lagi lah mahal harga lacuran mereka.

Sepatutnya makin tinggi ilmu yang mereka cari, makin tinggi pendidikan yang mereka terima makin bijak dan makin terkawal maruah mereka.Bukan sewenang-wenangnya mereka menjual maruah.

Atas alasan desakan hidup dan ingin membiayai kos pengajian menyebabkan ada segelintir pelajat di IPT terjerumus dalam kancah hina ini.Ada juga disebabkan pernah terpedaya dengan kekasih,pernah terlanjur makan mereka menjadi ketagih seks,jalan mudah mereka melacur diri.

Namun ada yang sengaja memilih jalan ini untuk hidup mewah dan bergaya.Sedikit rupa paras yang jelita memudahkan mereka mencari pasaran.Hari ini perniagaan berlandaskan nafsu seks ini begitu laris.Setiap hari dalam media massa dipaparkan pusat-pusat urut dan spa yang diserbu akibat menyalahgunakan permit.Mereka [ pengusaha spa dan pusat urut ] tidak berniaga sepertimana yang tertera dalam permit perniagaan sebaliknya berselindung di sebalik permit untuk melakukan kegiatan pelacuran.

Warga asing dari China, Indonesia, Rusia, Uzbekistan, Thailand dan seumpamanya menjadi umpan mereka untuk menarik pelanggan.Dalam waktu yang sama pengusaha dan pemilik spa dan pusat urut menjadi mewah tiba-tiba. Hari ini di mana-mana kelihatan wanita muda,cantik, penampilan seksi boleh senang-senang memandu kereta mewah dan bergaya penuh bangga [ tidak dinafikan ada yang berkemampuan melalui cara yang sah ].Wajah kelihat masih muda namun mampu memandu BMW 3 Series, 5 Series, Fairlady, Murano, Harrier, Mercedes pelbagai model.

Hanya segelintir yang berjaya melalui usaha yang halal seperti MLM [ jualan langsung ]dan  bisnes-bisnes perniagaan yang lain tetapi majoritinya melalui kerja-kerja tidak bermoral.Menjadi wanita simpanan juga antara jalan keluar dari kemiskinan.

Andai pendidikan tertinggi mula disaluti kegiatan melacur maka tidak mustahil sedikit masa lagi makin ramai yang terjebak dalam kegiatan pemerdagangan orang ini.Dengan status mereka yang berpindidikan tinggi,berada di pusat pengajian tinggi masyarakat mungkin terpedaya dengan helah mereka.Jangan terkejut jika selepas mereka tamat pengajian, melacur ini menjadi kerja sampingan mereka.Sistem 'jualan diri' mereka lebih tersusun dan sistematik kerana mereka berselindung dengan kerjaya yang sah,ada jawatan tinggi dan pendapatan yang lumayan.

Namun belakang tabir mereka masih melakukan kegiatan tidak bermoral mereka.Mereka mensasarkan orang berpengaruh, berpangkat dan berkedudukan tinggi.Mereka tidak mengejar semua keistimewaan tersebut tetapi mereka ingin wang yang banyak.Mungkin di tempat kerja, mereka ini bijak berlakon, pandai menjaga diri, menutup aurat, 'jual mahal', memilih kawan dan semuanya kelihatan positif.Di luar sana mereka ini berubah penampilan.Tudung entah kemana, cakap pun menggoda semacam, solekan memang maut, gaya memang mengalah model bertaraf dunia.

Hari ini dalam dunia yang serba serbi individualistik, materialistik dan nafsu nafsi maka menuntut manusia bersaing untuk hidup.Matlamat sudah menghalalkan cara.Asalkan kekayaan terkumpul, kemewahan tercapai apa cara hentam saja.Halal haram kira kemudian.Itulah pegangan mereka yang hubbudiniyya [ cintakan kemewahan dan kekayaan ]

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi terutamanya serta pemimpin negara perlu segera mengubati virus ini kerana siswa dan siswi di IPT akan tempat bergantung harap kepemimpinan negara masa hadapan.Sekiranya mereka ini dari awal tewas dan tidak punyai harga diri yang tinggi kelak bila mereka ada kuasa, negara akan mereka gadai tanpa banyak soal.Asalkan mereka senang, mereka tidak perlu fikirkan soal intgeriti lagi dah.

Sistem pendidikan negara yang masih berpusat kepada peperiksaan dan pasaran kerja tanpa mengambilberat teras [ pegangan agama ] yang membicarakan kehidupan selepas mati maka sampai bila pun fenomena pelacuran ini akan berterusan dan makin berpengaruh tanpa dapat disekat.

Sedangkan ilmu yang dituntut itu perlu mendekatkan diri kita dengan Allah,makin membuatkan kita lebih berhati-hati dalam semua urusan hidup, makin mendidik diri kita menjadi insan yang lebih bertaqwa.Andai sebaliknya berlaku maka ilmu yang dituntut di pusat-pusat pengajian tinggi gagal mendidik mereka menjadi insan yang bermoral,menjadi insan yang kenal diri maka kegagalan itu sebenarnya kegagalan para pendidik, para pensyarah,kegagalan para ustaz dan ustazah, lebih tinggi lagi itu adalah kegagalan pemimpin negara dalam mendidik rakyatnya.

Muhasabahlah segera.Hari ini terdapat lebih sejuta kanak-kanak yang dilahir dan didaftarkan sebagai anak luar nikah [ tidak sah taraf ] dalam negara kita.Itu yang direkodkan bayangkan yang masih tidak dapat diekasan di luar sana.Dan bayangkan juga dalam 20-30 tahun akan datang,apakah mustahil negara ini akan dipimpin oleh mereka yang tidak sah taraf ini untuk mengemudi hala tuju negara.Memang mereka tidak bersalah cuma asal-usul mereka akan menjadi pertimbangan rakyat.

Pemimpin jangan memikirkan ingin mengekalkan kuasa atau mengejar kemewahan semata-mata,sedar dan percayalah Ketuanan Melayu ke,Ketuanan Rakyat ke akan hanya menjadi kekal dan akan terus ada kesinambungan jika moral dan jati diri bangsa kukuh dan terjaga zahir dan batin.Pegangan agama,amalan agama dan penghayatan agama unggul.Pusinglah ke mana-mana,akhirnya kekuatan beragama,kejujuran yang telus dan sejati tetap menjadi teras untuk berjaya dunia dan lebih penting lagi kehidupan selepas mati.

Kurangkan berpolitik, renung dan tiliklah generasi semasa yang akan ditinggalkan pusaka kuasa dan harta khazanah negara buat mereka.Kiranya warisan kekayaan dan kemewahan diberi amanah kepada pewaris yang tidak bermoral, tidak punyai kualiti agama yang kukuh, tidak punya ilmu yang benar-benar mampu mendidik mereka menjadi manusia yang bermaruah, nescaya kedaulatan dan kemerdekaan negara tidak kekal lama.

Pelacuran dalam kalangan pelajar IPT perlu dibersihkan segera.Program pemutihan perlu dilakukan kerana gelaja pelacuran ini akan memburu mangsa-mangsa lelaki dari kalangan pelajar lelaki di IPT juga.Tidak mustahil itu terjadi.Lama kelamaan mungkin pensyarah juga akan meleleh air liur bila tersedar gadis genit, cantik dan menggoda di depan matanya dalam bilik kuliah adalah pelacur profesional.Ada budaya ugut dan sebagainya.Haruan makan anak boleh terjadi [ pensyarah menodai pelajarnya sendiri ] dan mungkin ia sedang berlaku.Siapa tahu?

Bertindaklah segera.Barah pelacuran ini jika tidak dikekang akan meruntuhkan sistem pendidikan negara.Kualiti ijazah tidak bernilai mungkin diperolehi tanpa usaha gigih.Mungkin ijazah tersebut ijazah hasil deal antara pelacuran dengan pelanggan [ pensyarahnya sendiri ].Kelak keyakinan masyarakat terhadap lulusan universiti terutama yang diperolehi oleh mereka yang cantik dan lawa-lawa dipandang serong.Seekor kerbau membawa lumpur,habis yang lain semua terpalit.

Ilmu yang tinggi sepatutnya mampu mendidik dan menjadi benteng untuk mengawal maruah bukannya dijadikan batu loncatan untuk mencari pendapatan lumayan dengan kerja-kerja haram seperti pelacuran ini.Pihak pentadbiran universiti, Majlis Perwakilan Pelajar [ MPP ] dan orang perseorangan jangan berkompromi dengan gejala ini.Banteraslah segera sebelum menjadi nanah yang membusuk.Jauhkan institusi keilmuan dari unsur-unsur keji seperti itu.Kalau ada pihak yang bersekongkol,buang mereka ini.Rosak daun,getuslah daun itu, rosak dahan, kerat dahan itu, rosak akar, korek dan buang akar itu.Tidak kira siapa.Bersalah tetap bersalah.Walaupun sebesar zarah akan tetap dihukum,baik atau buruk.


No comments:

Post a Comment