Thursday, December 30, 2010

TAHNIAH..begitulah kehendak TAKDIR.

Sudah tersurat.Sudah ternoktah.Sudah muktamad.Keputusan menjadi hakikat.Malaysia menjadi juara Piala AFF SUZUKI 2010.Walaupun tewas 2-1 kepada Indonesia mlm ni, namun kita masih menang dgn agregat 4-2.Akhirnya Malaysia muncul Juara.Syabas dan tahniah kepada semangat juang dan kekentalan mental mereka menahan asakan pemain lawan.

Walapun kita kalah besar 5-1 dalam pusingan awal namun itu cuma satu kisah silam.Kekalahan itulah membuatkan kita merintis jalan utk ke separuh akhir,ke final dan akhirnya menjadi JUARA penuh bergaya.Menewaskan pasukan yang sama sewaktu kalah 5-1 dlm perlawanan terdahulu.Kita ditabalkan juara di gelanggang lawan.Itu lebih bererti,terpahat menjadi sejarah gemilang buat skuad negara.Sebuah pasukan yang dibarisi rata-rata pemain muda.Semoga selepas ini negara akan terus cemerlang dalam sukan bola sepak di peringkat tertinggi.

Diharapkan dalam tahun2 mendatang,pasukan negara akan berada di pusingan akhir PIALA DUNIA.Itu yg kita harapkan.Itu yang kita mahu.Merintis kejayaan demi kejayaan di peringkat serantau sebenarnya mencari ruang dan perjalanan utk menapak ke peringkat tertinggi.Sukan SEA, Sukan ASIA, Sukan OLIMPIK menjadi taruhan akan datang.Tahniah dan syabas!!!..Tahniah juga buat jurulatih dan seluruh warga pengurusan FAM.


Wednesday, December 29, 2010

FINAL PIALA AFF SUZUKI

Kalau tidak ada aral melintang,kalau tidak berubah takdir,kalau masih kekal keputusan perlawanan pertama baru-baru ni MAKA bola sepak negara bakal menutup tirai 2010 dengan kejayaan yg cukup manis.Lebih2 lagi kalau disahkan JUARA  di negara Indonesia.Kan bermakna tu?.Bertandang ke tempat lawan kemudian ditabalkan juara di gelanggang lawan.

Jika rentak permainan Malaysia terus kekal seperti game baru2 ni maka tidak mustahil, pasukan negara mampu menambah jaringan gol.Kalau pasukan negara mampu menjaringkan gol awal maka pasukan lawan pasti lebih tertekan.Andai player negara tidak mudah panik,boleh menyerap tekanan di tempat lawan,tidak mudah marah dgn sebarang kekasaran mahupun keputusan berat sebelah pengadil,boleh bermain tanpa tekanan, bijak mengawal bola dan membuat hantaran tepat maka kali ini JUARA PIALA AFF SUZUKI boleh menjadi milik Malaysia.

Barisan pertahanan yg kental, bijak mematahkan serangan lawan, dan bermain dgn tenang akan mendatangkan kesan psikologi yg tinggi kepada penyerang Indonesia.Setiap pemain perlu berkerja keras mengekang asakan lawan.Mereka jgn sekadar melihat atau menumpang jer dlm permainan mlm esok [ mlm nanti ] kerana gadingan tenaga yang amat padu diperlukan utk pasukan negara melakar kemenangan.

Keyakinan saya kepada penjaga gawang negara cukup tinggi kerana pada saya Khairul Fahmi mempunyai kekuatan mental yg teruji.dia tidak mudah gelabah bila di asak.Dia tahu membaca pergerakan bola dan pergerakan lawan dlm kawasannya.Tahan dgn provokasi lawan.Tidak mudah panik.Itu yg mustahak.

Rasanya, pemain negara mampu utk mempertahankan keputusan awal yg diperolehi di Bkt Jalil pada mlm Isnin lalu.Mlm esok...dengan modal yg ada,rasanya pemain Malaysia mampu bermain dalam keadaan tenang.Mereka sudah memiliki motivasi yg mencukupi utk berhadapan dgn Indonesia.Kedudukan sekarang, Indonesia yg berada dlm situasi tertekan.Apa pun doa utk Malaysia, semoga mlm esok ditabalkan juara PIALA AFF SUZUKI pada tahun ini.Tahniah awal utk pasukan negara,bukan riak atau mendahului kenyataan tetapi sebagai warganegara kita perlu memberi suntikan moral buat pemain.Mereka membawa imej dan maruah negara.Semoga semangat juang mereka berkekalan.


Thursday, December 23, 2010

BERCUTI : Masih berada di Kelantan..

Mohon maaf kepada penjenguk blog mutiaranafakir kerana tiada posting terkini.Saya masih bercuti.Berada di Kelantan [ negeri kelahiran ]. Minggu depan baru kembali ke kota.Seronok berada di kampung ni bila sesekali menjenguk sanak saudara. InsyaAllah kalau ada perkembangan terkini..akan dikongsi di blog ini.




Friday, December 17, 2010

"RAMA-RAMA" [ kasanova ]



Rama-rama...
terbangmu mengikut irama kehidupan,
kau datang memungut sepi
pada reranting hati yang kerinduan belaian.

Setelah madu cinta kau temui
kau melangkah pergi
meninggalkan bebunga dimamah layu
menanti detik bersemadi ke bumi

Akhirnya...
gugurlah sekuntum bunga ternoda
tanpa harga diri
dan
nilai-nilai keaslian.



TUDUHAN RASUAH : TGNA dilepaskan dari tuduhan.Kesnya ditutup...

Setelah melalui fasa yang memeritkan.Pelbagai hinaan,cercaan,makian dan fitnah yang berpanjangan maka KEBENARAN menjelma jua.Memang begitu selalunya.Kebenaran akan hadir di akhir kemelut.Simboliknya untuk memberi peluang dan ruang kepada manusia yang berhati busuk, insaf dan berfikir.Jika masih jumud dan keji,kebenaran akan memberi kata putus.

Kes rasuah haji yang dilemparkan pelbagai pihak terhadap TGNA dan keluarganya menemui nokhtah . SPRM dan Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa kes itu ditutup.Tiada bukti menunjukkan TGNA terlibat dengan tuduhan yang disiasat.Kemelut itu membukti pihak yang benar akan menang walaupun perlu melalui ujian yang bersimpang siur.Orang yg dikasihi Allah akan diuji semahu-Nya.

Tuduhan rasuah ke atas MB Kelantan YAB TG Datuk Nik Abdul Aziz b. Nik Mat akhirnya diputihkan kembali.SPRM menyatakan tuduhan ke atasnya tidak relevan.Hasil siasatan membuktikan wang tajaan yang dimaksudkan tidak diminta oleh TGNA.Urusan haji pada tahun tersebut juga tidak dilaksanakan oleh TGNA.Dengan demikian, kes itu digugurkan.Maknanya TGNA bersih dari tuduhan rasuah.Bertaubat la mereka yang buta hati dan buta jiwa kerana memandang serong kepada niat seseorang yang ingin beribadah.

Sepatutnya kita sama2 bersatu,berani bersuara untuk mencegah maksiat, kemungkaran yang berlingkar di sekeliling pemimpin negara bukannya berniat jahat ke atas mereka yang ingin beribadah kepada Allah.Setiap yang baik,siapa pun mereka kita perlu sama2 sokong.Sebaliknya dalam urusan jahat siapa pun mereka kita perlu berani menegur.Berani bersuara.Berani kerana benar.



Monday, December 6, 2010

MARHABAN YA MARHABAN 1432 HIJRAH...

SELAMAT menyambut Tahun Baru 1432 Hijrah.

Semoga tahun baru ini,umat Islam kembali bersatu, kuat dan disegani.Usahlah kita,umat Islam berselisih lagi terutama dalam hal-hal remeh temeh.Fikirkan kepentingan ummah bukan kepentingan peribadi kita.Semoga hidup kita setahun yang lalu diredhai dan diampuni segala dosa oleh-Nya



KONVENSYEN : Bila nak diadakan khusus untuk bincangkan kenaikan harga barang?


UMNO-BN sedang mengadakan konvensyen khusus untuk mencari formula mengukuhkan kuasa mereka.Mencari titik temu untuk kembali menyatukan keretakan dalam parti masing-masing.Kompenen BN sebenarnya mempunyai masalah dalaman tersendiri.Konvensyen tersebut dilaksanakan untuk kembali memugarkan persefahaman dan semangat kerjasama antara mereka. Namun ia tidak diadakan untuk memikirkan masalah rakyat yang 'dirundung' malang.

Malang kerana terbeban dengan kenaikan harga barang.Malang kerana semakin hari rakyat semakin dibelenggu kesusahan,penderitaan dan kos hidup yang semakin menghimpit.Pendapatan yang semakin berkurang.BN sebaliknya hanya memikirkan kuasa dan kedudukan.Langsung tidak mahu memikirkan untuk mengekalkan 'kuasa rakyat'.Tidak mahu memikirkan kesan dan tindakan rakyat jika hidup mereka terus ditekan. BN bersatu sekali pun jika rakyat kekal menolak BN dalam PRU akan datang apa maknanya kalau BN bersatu padu?.



Benar.!!!.Kikiskan sifat khayal dan lupa diri.Khayal kerana beranggapan rakyat sudah kembali menyokong UMNO-BN.Sifat khayal dan syok sendiri ini akan makan diri UMNO-BN.Buatlah apa pun kalau sekadar memikirkan kuasa dan kepentingan peribadi pemimpin semata-mata tanpa mengambilkira kehidupan rakyat yang semakin susah dan terhimpit maka suara dan undi rakyat tidak akan kembali kepada BN.Rakyat akan bangkit menentang.

Kikis juga sikap lupa diri.Terlupa dan lupa daratan bahawa kemewahan dan kesenangan yang dimiliki pemimpin selama ini adalah hasil sokongan dan undi rakyat.Pemimpin BN sepatutnya perlu sedar bahawa jika rakyat tidak bersama mereka nescaya kehidupan mereka tidak semewah sekarang.

Rupanya memang ada pemimpin UMNO-BN suka berkhayal dan lupa diri selama ini,jika tidak takkan PM DS Najib mengingatkan anak buahnya?.Pemimpin komang, lebih umur dan di  luar kotak kemodenan dan kehendak rakyat dan masih menjadi tunggul dalam kerajaan perlu dicantas segera.Kalau boleh tunggul itu dibakar api untuk jadikan baja atau gantungkan saja pasu-pasu orkid di tunggul tersebut.Ada hasilnya..selain itu,sudah tidak berguna lagi.Ada pun kalau menyusahkan kerajaan dan menyemakkan fikiran, elok dibersarakan sahaja.Dinasihat dan diberi pembayang suruh berhenti pun tak faham-faham juga maka terminatedkan sahaja.



Rakyat didahulukan?Apa yang didahulukan?.Terdahulu dan pertama menanggung kenaikan harga barang?Terdahulu dan didahulukan menanggung pembayaran cukai, kos hidup yang semakin meningkat,itu memang benar. Atau didahulu dalam semua kesusahan dan selamanya rakyat didahulukan untuk memikul kenaikan harga barang dan semua perbelanjaan negara yang tidak berhemah?.Hutang negara makin meningkat.Kos hidup rakyat makin membeban.

Gaji kakitangan awam juga tidak berubah.Kadar gaji minima juga jauh ketinggalan dari negara serantau.Apakah bersatu dan bermuafakat itu merupakan satu ikrar dan janji untuk sama-sama meletakkan segala kesusahan dan kenaikan harga barang ditanggung rakyat semata-mata.Pemimpin hanya menangguk di air keruh.Pemimpin senang lenang.Mereka langsung tidak terbeban walau apa pun terjadi dengan kenaikan harga barang kerana mereka 'ditanggung halal'.Semuanya ditanggung rakyat.Aduhhh!!!..seronok benar jadi pemimpin ni ye?.Segala kesusahan biar rakyat yang rasa,segala kemewahan dan kesenangan biar pemimpin je yang kaut.Saban tahun bercuti, gelak tawa tanpa ada rasa risau akan masalah yang sedang melanda kehidupan rakyat.Bravo,bravo.ya riva!, ya riva!.....

Ingatlah,PRU13 makin hampir. Pemimpin BN sudah arif dengan tarikhnya sebab itu Konvensyen itu perlu diadakan sebelum wisel dibunyikan.Sebelum PRU diumumkan, ikatan antara komponen perlu diperketatkan.Mana-mana yang tercarik perlu dirapatkan kembali.Segala isu, skandal, keburukan para pemimpin BN perlu ditutup atau dibersihkan segera jika tidak rakyat sedang menunggu untuk kembali bersuara.Apakah gelombang 2008 akan berterusan atau UMNO-BN kembali mendapat keyakinan rakyat?Melihat kepada keadaan semasa, rasanya UMNO-BN masih sukar untuk bernafas lega..

Sediakan payung sebelum hujan.Beringat sebelum kena...jika tidak sama-samalah kita lihat SIAPA YANG KENA. Setelah semboyan PRU13 berbunyi..jika tidak berwaspada,pasti ramai yang akan kena, pemimpin BN dan pemimpin pembangkang akan menjadi mangsa.YB Bebas pun rasanya akan lunyai dan luput bersama-sama gelombang rakyat.Tak percaya?..tengoklah nanti.



ULASAN ISU : Pelacuran dalam kalangan pelajar IPT

"Industri pelacuran" adalah antara industri tertua dalam dunia [ sejak Zaman Jahiliyah ].Dalam mana-mana negara, masyarakat atau bandaraya kebanyakannya terdapat manusia yang "menjual diri " [ menjadi pelacur ].Atas apa alasan sekali pun kegiatan melacur ini adalah haram.Dan hari ini, kegiatan pelacuran ini baik secara suka rela atau terpaksa makin membiak.Semuanya berpunca daripada hasil pulangan yang lumayan.Lebih-lebih lagi ada tangan ghaib yang berkuasa dan berpengaruh menjadi tempat bergantung para ibu dan bapa ayam melakukan urusan niaga jijik ini.

Hari ini, masyarakat dicetuskan pula dengan isu pelacuran melibatkan pelajar IPT.Pelbagai sumber diberi untuk menjadikan pelacuran dari kalangan 'student' pusat pengajian tinggi ini melacurkan diri.Desakan hidup, terpaksa kerana ingin membiayai perbelanjaan pelajaran dan macam-macam lagi.

Cuma jika benar kegiatan pelacuran dalam kalangan pelajar IPT ini benar dan terbukti benar [ memang benar wujud pun ] maka kerajaan sepatutnya merasa 'malu', perlu merasa terpukul dan mereka perlu ambil tanggungjawab ini.Mungkin kesilapan kerajaan sehingga berlaku desakan hidup di kalangan pelajar.Masalah perbelanjaan untuk menampung pengajian memungkinkan mereka menjual diri.Ada sesuatu yang tidak betul dalam sistem pendidikan negara maka insan yang bakal diserahkan masa depan negara sudah tewas awal.

Kalau hari ini mereka berani dan rela melacur diri apakah tidak mungkin bila mereka memiliki kuasa atau kedudukan mereka ini akan 'melacurkan' jawatan dan pangkat mereka pula.Mungkin negara pun mereka sanggup lacur.Semuanya tidak mustahil.Demi kemewahan, demi ingin nampak bergaya, ingin nampak kaya dan berstatus maka asalkan wang dapat dikumpul,maruah diri sudah tidak ada harga lagi.

Harga maruah diri boleh menjadi RM100 atau RM200 atau lebih berdasarkan persetujuan antara pihak penawaran dan permintaan.Silap-silap mungkin percuma bila suka sama suka.Dan itulah yang sebenarnya terjadi hari ini.Pergaulan bebas yang terjadi dalam kalangan pelajar IPT terlihat di mana-mana.Ego kerana mereka beranggapan mereka cerdik, sudah bijak berfikir maka mereka bebas lakukan apa sahaja hatta maruah [melacurkan diri ] bukan kesalahan tetapi boleh dijadikan sumber untuk hidup mewah.

Status mereka sebagai insan yang sedang berada di pusat pengajian tinggi maka harga diri yang ditawarkan akan menjadi lebih tinggi.Makin tinggi ilmu akademik maka makin tinggi nilai RM yang mereka dapat.Ditambah lagi kalau ada rupa paras maka lagi lah mahal harga lacuran mereka.

Sepatutnya makin tinggi ilmu yang mereka cari, makin tinggi pendidikan yang mereka terima makin bijak dan makin terkawal maruah mereka.Bukan sewenang-wenangnya mereka menjual maruah.

Atas alasan desakan hidup dan ingin membiayai kos pengajian menyebabkan ada segelintir pelajat di IPT terjerumus dalam kancah hina ini.Ada juga disebabkan pernah terpedaya dengan kekasih,pernah terlanjur makan mereka menjadi ketagih seks,jalan mudah mereka melacur diri.

Namun ada yang sengaja memilih jalan ini untuk hidup mewah dan bergaya.Sedikit rupa paras yang jelita memudahkan mereka mencari pasaran.Hari ini perniagaan berlandaskan nafsu seks ini begitu laris.Setiap hari dalam media massa dipaparkan pusat-pusat urut dan spa yang diserbu akibat menyalahgunakan permit.Mereka [ pengusaha spa dan pusat urut ] tidak berniaga sepertimana yang tertera dalam permit perniagaan sebaliknya berselindung di sebalik permit untuk melakukan kegiatan pelacuran.

Warga asing dari China, Indonesia, Rusia, Uzbekistan, Thailand dan seumpamanya menjadi umpan mereka untuk menarik pelanggan.Dalam waktu yang sama pengusaha dan pemilik spa dan pusat urut menjadi mewah tiba-tiba. Hari ini di mana-mana kelihatan wanita muda,cantik, penampilan seksi boleh senang-senang memandu kereta mewah dan bergaya penuh bangga [ tidak dinafikan ada yang berkemampuan melalui cara yang sah ].Wajah kelihat masih muda namun mampu memandu BMW 3 Series, 5 Series, Fairlady, Murano, Harrier, Mercedes pelbagai model.

Hanya segelintir yang berjaya melalui usaha yang halal seperti MLM [ jualan langsung ]dan  bisnes-bisnes perniagaan yang lain tetapi majoritinya melalui kerja-kerja tidak bermoral.Menjadi wanita simpanan juga antara jalan keluar dari kemiskinan.

Andai pendidikan tertinggi mula disaluti kegiatan melacur maka tidak mustahil sedikit masa lagi makin ramai yang terjebak dalam kegiatan pemerdagangan orang ini.Dengan status mereka yang berpindidikan tinggi,berada di pusat pengajian tinggi masyarakat mungkin terpedaya dengan helah mereka.Jangan terkejut jika selepas mereka tamat pengajian, melacur ini menjadi kerja sampingan mereka.Sistem 'jualan diri' mereka lebih tersusun dan sistematik kerana mereka berselindung dengan kerjaya yang sah,ada jawatan tinggi dan pendapatan yang lumayan.

Namun belakang tabir mereka masih melakukan kegiatan tidak bermoral mereka.Mereka mensasarkan orang berpengaruh, berpangkat dan berkedudukan tinggi.Mereka tidak mengejar semua keistimewaan tersebut tetapi mereka ingin wang yang banyak.Mungkin di tempat kerja, mereka ini bijak berlakon, pandai menjaga diri, menutup aurat, 'jual mahal', memilih kawan dan semuanya kelihatan positif.Di luar sana mereka ini berubah penampilan.Tudung entah kemana, cakap pun menggoda semacam, solekan memang maut, gaya memang mengalah model bertaraf dunia.

Hari ini dalam dunia yang serba serbi individualistik, materialistik dan nafsu nafsi maka menuntut manusia bersaing untuk hidup.Matlamat sudah menghalalkan cara.Asalkan kekayaan terkumpul, kemewahan tercapai apa cara hentam saja.Halal haram kira kemudian.Itulah pegangan mereka yang hubbudiniyya [ cintakan kemewahan dan kekayaan ]

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi terutamanya serta pemimpin negara perlu segera mengubati virus ini kerana siswa dan siswi di IPT akan tempat bergantung harap kepemimpinan negara masa hadapan.Sekiranya mereka ini dari awal tewas dan tidak punyai harga diri yang tinggi kelak bila mereka ada kuasa, negara akan mereka gadai tanpa banyak soal.Asalkan mereka senang, mereka tidak perlu fikirkan soal intgeriti lagi dah.

Sistem pendidikan negara yang masih berpusat kepada peperiksaan dan pasaran kerja tanpa mengambilberat teras [ pegangan agama ] yang membicarakan kehidupan selepas mati maka sampai bila pun fenomena pelacuran ini akan berterusan dan makin berpengaruh tanpa dapat disekat.

Sedangkan ilmu yang dituntut itu perlu mendekatkan diri kita dengan Allah,makin membuatkan kita lebih berhati-hati dalam semua urusan hidup, makin mendidik diri kita menjadi insan yang lebih bertaqwa.Andai sebaliknya berlaku maka ilmu yang dituntut di pusat-pusat pengajian tinggi gagal mendidik mereka menjadi insan yang bermoral,menjadi insan yang kenal diri maka kegagalan itu sebenarnya kegagalan para pendidik, para pensyarah,kegagalan para ustaz dan ustazah, lebih tinggi lagi itu adalah kegagalan pemimpin negara dalam mendidik rakyatnya.

Muhasabahlah segera.Hari ini terdapat lebih sejuta kanak-kanak yang dilahir dan didaftarkan sebagai anak luar nikah [ tidak sah taraf ] dalam negara kita.Itu yang direkodkan bayangkan yang masih tidak dapat diekasan di luar sana.Dan bayangkan juga dalam 20-30 tahun akan datang,apakah mustahil negara ini akan dipimpin oleh mereka yang tidak sah taraf ini untuk mengemudi hala tuju negara.Memang mereka tidak bersalah cuma asal-usul mereka akan menjadi pertimbangan rakyat.

Pemimpin jangan memikirkan ingin mengekalkan kuasa atau mengejar kemewahan semata-mata,sedar dan percayalah Ketuanan Melayu ke,Ketuanan Rakyat ke akan hanya menjadi kekal dan akan terus ada kesinambungan jika moral dan jati diri bangsa kukuh dan terjaga zahir dan batin.Pegangan agama,amalan agama dan penghayatan agama unggul.Pusinglah ke mana-mana,akhirnya kekuatan beragama,kejujuran yang telus dan sejati tetap menjadi teras untuk berjaya dunia dan lebih penting lagi kehidupan selepas mati.

Kurangkan berpolitik, renung dan tiliklah generasi semasa yang akan ditinggalkan pusaka kuasa dan harta khazanah negara buat mereka.Kiranya warisan kekayaan dan kemewahan diberi amanah kepada pewaris yang tidak bermoral, tidak punyai kualiti agama yang kukuh, tidak punya ilmu yang benar-benar mampu mendidik mereka menjadi manusia yang bermaruah, nescaya kedaulatan dan kemerdekaan negara tidak kekal lama.

Pelacuran dalam kalangan pelajar IPT perlu dibersihkan segera.Program pemutihan perlu dilakukan kerana gelaja pelacuran ini akan memburu mangsa-mangsa lelaki dari kalangan pelajar lelaki di IPT juga.Tidak mustahil itu terjadi.Lama kelamaan mungkin pensyarah juga akan meleleh air liur bila tersedar gadis genit, cantik dan menggoda di depan matanya dalam bilik kuliah adalah pelacur profesional.Ada budaya ugut dan sebagainya.Haruan makan anak boleh terjadi [ pensyarah menodai pelajarnya sendiri ] dan mungkin ia sedang berlaku.Siapa tahu?

Bertindaklah segera.Barah pelacuran ini jika tidak dikekang akan meruntuhkan sistem pendidikan negara.Kualiti ijazah tidak bernilai mungkin diperolehi tanpa usaha gigih.Mungkin ijazah tersebut ijazah hasil deal antara pelacuran dengan pelanggan [ pensyarahnya sendiri ].Kelak keyakinan masyarakat terhadap lulusan universiti terutama yang diperolehi oleh mereka yang cantik dan lawa-lawa dipandang serong.Seekor kerbau membawa lumpur,habis yang lain semua terpalit.

Ilmu yang tinggi sepatutnya mampu mendidik dan menjadi benteng untuk mengawal maruah bukannya dijadikan batu loncatan untuk mencari pendapatan lumayan dengan kerja-kerja haram seperti pelacuran ini.Pihak pentadbiran universiti, Majlis Perwakilan Pelajar [ MPP ] dan orang perseorangan jangan berkompromi dengan gejala ini.Banteraslah segera sebelum menjadi nanah yang membusuk.Jauhkan institusi keilmuan dari unsur-unsur keji seperti itu.Kalau ada pihak yang bersekongkol,buang mereka ini.Rosak daun,getuslah daun itu, rosak dahan, kerat dahan itu, rosak akar, korek dan buang akar itu.Tidak kira siapa.Bersalah tetap bersalah.Walaupun sebesar zarah akan tetap dihukum,baik atau buruk.


Sunday, December 5, 2010

HARGA MINYAK DAN GULA NAIK TIDAK JEJASKAN RAKYAT...?

Setiap kali berlaku berlaku kenaikan harga barang pasti muncul pelbagai pandangan.Pihak kerajaan akan tetap mempertahankan apa yang dilakukan.Semuanya untuk kebaikan bersama.Kerajaan tidak terbeban,rakyat juga masih mampu untuk bertahan.Manakala pembangkang akan memainkan isu yang mungkin menjurus 'mengajak' rakyat menentang kerajaan.Dua-dua pihak mesti akan mencari alasan dan hujah untuk mempertahankan segala tindakan yang diambil.

Bagi golongan kelas menengah dan ke atas,tentu kenaikan harga minyak dan gula tidak menjejaskan kos hidup harian mereka,kalau ada pun mungkin segelintir [ terutama pihak yang tidak mengamalkan budaya hidup sepadan dengan kemampuan ].Namun bagi penduduk atau rakyat yang berpendapatan rendah, mungkin mereka ada motorsikal dan kereta [ mungkin tidak ada cukai jalan ] yang digunakan untuk urusan harian.

Mereka pasti guna minyak malahan kadar minyak yang digunakan seminggu atau sebulan lebih besar kerana mereka banyak bergerak untuk mencari nafkaf.Apa yang pasti kadar upah tidak seberapa.Pergerakan tetap berlaku.Jika begini, kenaikan yang sedikit akan tetap membebankan mereka kerana gaji masih sama,kadar perbelanjaan makin bertambah.

Para pemimpin,kakitangan awam yang berkelulusan diploma atau degree mungkin tidak begitu terjejas.Penduduk di kampung-kampung pasti sedikit terkesan dengan kenaikan harga barang.Cuma pemimpin jangan sesekali membandingkan harga minyak negara kita dengan negara maju.Kalau perbandingan demikian dibuat,mengapa kadar upah tidak dibanding sama?.

Thailand mempunyai lebuhraya macam negara kita tetapi mereka tidak mengenakan tol.Kenapa kita tidak ikut Thailand?.Negara Brunei mempunyai telaga minyak seperti kita juga tetapi mereka menjual minyak untuk rakyat mereka dengan kadar yang cukup murah.Kenapa kita tidak bandingkan dengan Brunei?Jangan bandingkan dengan England,Amerika, Jepun dan sebagainya.Mereka itu negara maju.Rakyat mereka mempunyai pendapatan yang cukup tinggi.

Mengapa setiap kali berlaku kenaikan harga barang,pemimpin kita suka membuat perbandingan dengan negara maju.Sedangkan dalam ASEAN pun kita masih dikira antara yang tertinggi.Kalau negara dalam ASEAN masih mampu menawarkan harga yang rendah untuk barang yang sama,apa alasan kita?

Kita akan bandingkan negara kurang maju bila kita bercakap soal kemajuan,untuk menunjukkan Malaysia jauh ke depan.Namun bila kita menaikkan harga barang kita bandingkan pula dengan negara maju untuk bagitau rakyat bahawa negara kita ini masih murah.Mengapa demikian?.Kita perlu bercakap dalam konteks negara kita.Kita perlu ikut acuan kita.Wawasan 2020 ingin dicapai mengikut acuan sendiri.Acuan itu bermaksud mengikut keupayaan, kemampuan dan cara urus tadbir negara adalah berorientasikan kepada kepelbagaian kemampuan yang rakyat kita miliki.Bukannya kita membanding-bandingkan dengan negara luar.

Kadar upah yang tinggi, gaji minima, prasarana yang hebat, integriti, tahap kecekapan bertindak,kadar rasuah dan sebagainya tidak pula kita bandingkan negara maju.Untuk merasionalkan tindakan kita maka kita cuba bandingkan dengan pihak luar.Sedangkan pendapatan pekerja kita tidak setaraf dengan negara yang dijadikan perbandingan itu.Satu sikap yang tidak patut dijadikan hujah.

Pemimpin yang kaya dan mewah pasti tidak mampu 'merasai' bebanan yang ditanggung rakyat terbanyak.Sebenarnya apa yang terjadi hari ini sebenarnya akan meninggalkan kesan kepada kehidupan rakyat.Dalam saat PRU13 makin hampir kerajaan tidak sepatutnya membuat tindakan ini.Keadaan mungkin menjadi makin teruk kerana keadaan ekonomi masih belum pulih.Tahun 2011 mungkin ekonomi masih merudum.Andai keadaan itu terjadi,pasti minyak akan naik lagi.

Situasi yang berlaku akan menjadi peluru untuk pembangkang menyerang kerajaan.Perasaan geram akan kembali mendidih jika terus dipanaskan.Rentak pembangkang mudah diikut rakyat.Dalam mood PRU sebegini kerajaan patutnya tangguhkan sehingga tahun hadapan.Namun mungkin tahun hadapan loceng PRU akan dibunyikan justeru terlalu hampir dengan saat PRU,ini akan menjejaskan kuasa kerajaan.Betul juga.Cuma kenaikan harga barang yang berlaku ini tetap akan dipandang serius oleh rakyat.Sedangkan mungkin selepas ini akan muncul lagi pelbagai isu yang menjadi nasi tambah kepada tidak puashati rakyat.

Sekiranya ada lagi isu lain,pasti kaitan ada dibuat untuk memungkinkan sokongan rakyat merosot.Pembangkang tidak akan menyokong semua tindakan kerajaan.Lebih-lebih lagi jika pembangkang mengetahui bahawa kenaikan harga barang masih boleh dikawal.Kerajaan masih mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menampung kos kenaikan tersebut.Akhirnya kerajaan akan terus dilihat cuba membebankan rakyat.Macam-macam tuduhan akan dilemparkan kepada kerajaan.

Sejak akhir-akhirnya sudah bermula perang psikologi antara UMNO-BN dengan Pakatan Rakyat.Masing-masing mula bermain strategi.Pendekatan yang diambil makin mendebarkan.Serangan makin kencang.Sudah jelas bahawa era PRU13 makin hampir.Majoriti rakyat sudah mula membuka mata dan telinga.Mendengar dan melihat apa yang cuba dimainkan oleh kedua-dua pihak yang sedang 'berperang' ini.

Jika silap percaturan, UMNO-BN akan tumbang.Mungkin juga Pakatan Rakyat akan terkubur.Semuanya bergantung kepada tahap bijaksana masing-masing bermain isu.Spekulasi dan isu yang tercipta samada benar atau fitnah boleh makan diri andai tidak bijak diurus.Mungkin akan menjadi peluru yang akan menembak diri sendiri.

Kuasa ketiga buat ketika ini masih belum meruap.Riaknya masih belum muncul.Tidak menampakkan tandanya.Namun siapa tahu jika akhirnya kuasa ketiga ini akan menjadi tawaran terbaru untuk rakyat jika kelihatan UMNO-BN dan Pakatan, kedua-duanya tidak boleh dipakai.

Tidak boleh sama sekali memandang enteng kuasa ketiga ini.Dalam politik moden ini,tidak ada perkataan mustahil.Semuanya boleh muncul dan terjadi dengan tiba-tiba.Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.Buaya di air tenang adalah buaya yang cukup ganas.Keganasan manusia yang pendiam, penyabar boleh membunuh 10 manusia serentak jika sekali dia mengamuk.Begitu juga dengan kuasa ketiga ini.Bahananya tidak terjangka jika rakyat mula muak dengan kuasa yang sedia ada.Permintaan akan menentukan penawaran.

Kerajaan usahlah membina hujah untuk menyedapkan hati rakyat.Hujah-hujah yang diberikan akan menambahkan benci rakyat kepada kerajaan.Dahlah kenaikan barang berlaku secara tiba-tiba,pasti mengejutkan rakyat.Sekarang 2010 makin melabuhkan tirai.Banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan.Musim baru persekolahan juga makin mendekat.Keperluan persekolahan anak-anak menuntut jumlah yang agak banyak.Kos untuk pakaian sekolah seorang anak tahun satu mencecah RM500[ sekolah agama dan sekolah kebangsaan ],itu belum masuk yuran dan peralatan tulis.

Penggunaan kenderaan sudah menjadi wajib bagi penduduk di kota.Setiap saat mereka bergerak.Cuti hujung minggu juga bergerak ke sana kemari.Kenduri kendara, majlis kemasyarakatan, urusan luar jangka, kematian sanak saudara dan seumpamanya menuntut pergerakan berkedenraan persendirian.Cuma berlaku kenaikan macam mana pun rakyat akan tetap gunakan barangan tersebut.Tidak boleh tidak.Kemarahan rakyat akan terasa bila didesakan atau diapi-apikan.Terutama sekarang ini mood PRU makin dekat,itu yang menjadikan setiap kenaikan harga barang akan memberi kesan kurang baik kepada kerajaan.

Satu persoalan timbul ialah mengapa kita menjual minyak dengan harga yang mahal untuk rakyat sendiri?.Kita ada telaga minyak, kita kaya dengan hasil minyak tetapi kita tidak boleh menjual minyak dengan harga lebih murah sepertimana Brunei.Apa rasional,apa susahnya untuk kita jualkan minyak diesel atau petrol pada kadar yang termurah.Pemimpin asyik bercakap"kenaikan yang berlaku sedikit sahaja" ,"hanya sedikit sahaja", "cuma sedikit sahaja"..tidak membebankan rakyat.

Mudah sungguh pemimpin mengeluarkan hujah.Mereka kaya raya,pastilah tidak terkesan.Hanya nelayan yang tahu jerih perihnya kehidupan nelayan, hanya penoreh getah yang tahu deritanya hidup sebagai penoreh, petani yang lebih tahu susah payah bertani.Pemimpin tidak mampu 'merasainya' sebab itu mereka bercakap ikut sedap mulut.Mereka sudah kaya dari kecil lagi.Mana nak tahu dan mampu rasa erti kesusahan dalam hidup?


Friday, December 3, 2010

Sesudah Asar : RAMALAN PRU13____________

Sejak UMNO menangguhkah Pemilihannya untuk tempoh 18 bulan lagi maka bermacam-macam ramalan berlaku.Semuanya menjurus kepada PRU13.Baik pembangkang mahupun penganalisis politik, semuanya ingin tunjuk bijak dan hebat.Masing-masing memberi tempoh atau tarikh berkaitan PRU13 diadakan.Pelbagai spekulasi dibuat.

Pembangkang dengan caranya.Tercetus pelbagai perkara dalam benak pembangkang.Mac 2011, April 2011, September 2011.Berbagai-bagai tarikh dijangka dan diramal.Semuanya mula menjadi nujum.Sedangkan 'menujum' itu haram.Ditegah dalam agama.

Pemimpin UMNO juga masing-masing berkira dan merenung diri sendiri.Terpilih semula, tersingkir dari calon dalam PRU akan datang atau bagaimana nasib badan.Semuanya bermain dalam benak masing-masing.Biasa la pemimpin ni,sukar untuk melepaskan kuasa dan kedudukan.Kalau boleh sampai mati dalam jawatan.Kalau diberi pilihan pasti sampai mati ingin bergelar YB.Tidak dapat dikejar, bila dapat seboleh mungkin cuba pertahankan. Pendekatan "real politik" sanggup digunakan janji title YB kekal.

Pihak UMNO-BN akan membuat pelbagai propaganda untuk menyerang pembangkang.Perang politik makin kencang.Rekaan cerita, isu, masalah, penulis skrip, pelakon, pengarah semua akan mula bercambah dalam saat-saat PRU sebegini.Penulis buku, para blogger yang pro parti masing-masing akan bekerja keras untuk menyampaikan pelbagai 'berita dan maklumat'.Janji tuan dan majikan masing-masing akan kekal.Periuk nasi masing-masing MESTI dipertahankan.Sanggup bergadai nyawa.

Serangan terhadap pihak opposisi semakin kencang.Laporan sana, memorandum sini, perarakan sana, perarakan sini, demo sana,demo sini dan pelbagai protes akan dilakukan.Semuanya menjurus kepada mencari kelebihan  dan keuntungan parti masing-masing.

Sikap mesra rakyat, berbaik-baik dengan rakyat, nampak lebih cakna dengan rakyat, dulu...kalau jarang-jarang ke masjid,jarang-jarang masuk warung kopi, jarang-jarang ada di kawasan hari ini semuanya mula berubah cara dan gaya.Masjid sudah mula rajin berjamaah, kat kawasan sering kelihatan, sering ke warung-warung kopi, menjadi pemurah sakan.Senyum makin lebar, huluran tangan untuk bersalam juga makin kerap,tingkap kereta pun asyik terdedah sahaja.

Kalau sebelum ini cermin tingkap gelap sentiasa tertutup.Jarang ada di kampung atau kawasan.Semuanya mula 'berlakon', mula berpura-pura dengan rakyat.Dek kerana kuasa dan tittle YB,sekarang bakal-bakal calon [ yang berasakan diri akan dipilih ] makin rancak membuat program mendekati rakyat.YB yang sedang di hujung tanduk cuba meraih keyakinan pimpinan atasan juga makin menunjukkan mutu kerja yang terbaik.Maklumlah..bodek kena baik punyaaaa.!!!

Sedih dan menggelikan hati.Macam-macam kerenah dilihat.Ramalan bukan setakat dari congakan sendiri, ada yang jumpa dukun atau bomoh dapatkan 'petunjuk' untuk dapatkan 'bau' bila PRU13 akan diadakan.Untuk kepentingan peribadi yang bersifat keduniaan [ bagi mereka yang hanya kejar dunia - kuasa dan kemewahan ] mereka yang 'gilakan' kedudukan ini sangup berhabis,sanggup bergadai asalkan nama mereka dipilih semula.Sebenarnya tidak guna kalau nama dicalonkan jika akhirnya RAKYAT menolak.Lebih memalukan jika tetiba rakyat tidak lagi sudi memberikan mandat untuk diri kita.

Sepatutnya kita PERLU ramal bila hidup kita ini akan berakhir.Ramallah kematian sendiri,itu lebih mulia.Bila kita seringkali 'meramal' kematian maka jiwa kita tidak menjadi rakus untuk melakukan kejahatan dan kesalahan dengan rakyat.Kita akan lebih jujur dan ikhlas berkhidmat untuk rakyat.Namun manusia hari ini begitu takut untuk mati terutama mereka yang terlalu gilakan kuasa dan pangkat.

MATI adalah satu perkatan yang amat dibenci.Tidak mahu dengar langsung perkataan 'mati' ini.Fobia tahap maksima.Sedangkan bila kita sering ingatkan mati,jiwa kita akan lebih insaf dan sentiasa bertekad untuk bekerja dan berkhidmat semata-mata kerana Allah sesuai dengan martabat kita sebagai KHALIFAH di bumi Allah ini.Jika masih ingin melakukan kerosakan, maksiat dan kejahatan di bumi Allah ini, lebih baik carikan planet atau bumi lain.

Dunia Allah ini adalah ladang untuk menanam bekal untuk dibawa ke akhirat.Kehidupan 'di sana' lebih kekal abadi.Ramallah kematian kita,itu yang terbaik.Tidak perlu meramal bila PRU13 kerana PRU tersebut akan tiba juga sebelum tamat EDAH pertengahan 2013 nanti.Tunggulah.Cuma takut tak sempat..mati dulu yang menjemput.Jadi lebih baik kita 'ramal' bila kematian kita..

ZAKAT : Di Selangor - Masih ramai tidak membayar zakat

Zakat adalah fardu ke atas semua individu muslim yang layak.Zakat harta dan zakat pendapatan adalah antara yang dituntut oleh agama ke atas umatnya.Zakat adalah pembersihan harta umat manusia [ Islam ]. Dalam harta seseorang muslim itu ada hak mereka yang fakir dan miskin.Seseorang yang selalu mengeluarkan zakat akan dapat  mengelakkan mereka dari kepanasan api neraka.

Namun hari ini, terlalu ramai manusia terutama orang Islam yang memandang mudah kewajipan berzakat.Sengaja berlengah, kadang-kadang sengaja tidak mahu mengeluarkan zakat.Di Selangor sahaja, daripada lebih sejuta yang layak mengeluarkan zakat, hanya 115,000 orang sahaja yang menunaikan kewajipan mereka terhadap zakat.

Selebihnya mungkin menunaikan tanggungjawab itu di tempat lain atau mungkin juga tidak ambil peduli keperluan mengeluarkan zakat. Pihak-pihak berwajib perlu mengambil tanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada umat Islam di negara ini kerana zakat itu melibatkan hukum hakam dalam agama berbanding dengan cukai.Ramai orang takut kepada undang-undang dunia berbanding dengan azab Allah.


RENUNGAN PAGI JUMAAT : MATI ITU REHAT YANG PANJANG...

Mati semut kerana gula.Gula mendekatkan kematian semut.Hayat semut menjadi pendek bila semut  mula mendekati gula.Begitu juga manusia; dadah,rokok, dan arak boleh mendekatkan kematian manusia.Asbab dan musabab membawa kepada kematian manusia itu sendiri.Pupusnya generasi muda dalam masyarakat moden, masyarakat yang melupakan Allah dan solat [ sembahyang ].

Warga emas ada yang masih tidak sedar diri,masih tidak merasakan dirinya makin dekat dengan pintu kubur meskipun jika memandang kiri kanan, jira-jirannya, manusia yang pernah menjadi ahli keluarganya dan sahabatnya seorang demi seorang telah pergi meninggalkannya.

Kita perlu menginsafi agar kita sentiasa bersiap sedia lebih awal dengan bekalan ke akhirat.Dan kita tidak ingin [ kalau boleh dielakkan ] dari mati mengejut tanpa banyak persiapan yang sempat dilakukan pada usia yang masih muda;sebab buah-buahan itu tidaklah gugur sewaktu masak ranumnya sahaja tetapi boleh juga gugur semasa putik atau mudanya.

Bersedialah untuk mati.."matilah kamu sebelum mati", renungi dan hayati sepenuhnya kata-kata ini.Semoga mengerti.



Thursday, December 2, 2010

DOKTOR PALSU : Berapa ramai sudah menjadi mangsa?


Bidang perubatan di negara ini sudah acapkali mendapat teguran dan kritikan masyarkat.Hospital kerajaan yang lambat memberi bantuan, lembab semasa bertugas, emosional sewaktu berhadapan dengan pesakit @ pelanggan dan macam-macam hal lagi.Pusat perubatan swasta pula sering dikritik kerana kos perubatan yang terlalu mahal, tidak mengambil berat soal  keselamatan kepada pesakit kecemasan tanpa bayaran deposit  terlebih dahulu.Semua ini sering dipaparkan dalam media masa.

Namun kini, timbul pula isu doktor palsu.Situasi ini amat menakutkan kerana jika melibatkan nyawa pesakit.Cuba bayangkan jika tersilap ubat.Tersilap membuat pembedahan,tersilap membuat rawatan.Jika ini berlaku maka mungkin mengancam nyawa pesakit.Doktor palsu ini sebenar tidak layak berada di klilnik sebaliknya mereka ini perlu berada di penjara atau menjadi pesakit di pusat rawatan psikiatari. Mereka sedemikian ini sebenarnya sakit jiwa.

Bayangkan jika staff klinik dicabul atau dirogol, lagi parah.Ada yang berani mungkin laporan polis akan dibuat sepertimana dalam laporan Harian Metro di atas.Bagaimana jika mangsa menjadi takut atau diugut?Pasti kes berkenaan akan berlanjutan terjadi.Sikap dan keadaan ini perlu dibanteras dengan segera sehingga ke lubang cacing.Pemilik pusat rawatan,klinik atau pusat perubatan perlu membuat tapisan dan soal selidik seteliti mungkin.Jika tidak nama baik pusat perubatan berkenaan akan mendapat malu,mungkin ditutup atau mungkin kena saman dengan pesakit.

Malahan dicadangkan pemilik pusat perubatan yang lalai dalam soal pemilihan pegawai @ doktor yang bertugas di premis mereka perlu diambil tindakan.Kelalaian mereka dalam hal-hal begini mengundang padah kepada pelanggan yang mendapat rawatan.Andai berlaku kematian tentu banyak pihak teraniaya.Kesilapan pemberian ubat selalunya banyak mendatangkan risiko sampingan.Mungkin penyakit makin teruk, mungkin membawa mudarat yang lebih teruk sehingga membawa maut.

Pihak berwajib perlu membuat pemeriksaan berkala sepertimana pemeriksaan ke atas majikan pembantu rumah.Doktor plasu ini perlu dihapuskan segera.Tidak ada kompromi dalam hal ini.Syarat ketat perlu dikenakan kepada klinik swasta atau pusat perubatan swasta jika ingin mengambil doktor bertugas di tempat mereka.Pemilihan perlu dibuat seteliti dan seketat yang mungkin.Sesuai dengan kos yang mereka kenakan kepada pesakit.

Andai kos perubatan mahal tetapi doktor yang merawat pula adalah palsu,sangat tidak adil.Mereka yang terlibat perlu dihukum atau didakwa di mahkamah.Denda pula perlu tinggi.Jangan beri muka kepada mereka yang bersifat binatang ini.Pesakit atau pelanggan tentunya mempunyai kepercayan atau keyakinan penuh untuk mendapat rawatan,tup-tup doktor yang merawat adalah palsu.Tidak punya kelulusan yang diikitiraf.Boleh mengundang pelbagai masalah sampingan yang lain.

Kerjaya doktor dipandang tinggi dan mulia oleh masyarakat.Namun jika pekerjaan tersebut dikhianati oleh mereka yang gilakan gelaran doktor dan sanggup menjadi doktor palsu lambat laut, masyarakat akan menjadi curiga kepada kerjaya doktor tersebut.Akhirnya doktor yang tulen pun dipandang serong oleh masyarakat.Lebih parah lagi, bila doktor tulen nak berkahwin pun mungkin pihak keluarga pasangannya terpaksa membuat semakan dan siasatan untuk dapatkan pengesahan.Keadaan ini mungkin memalukan doktor yang benar-benar diiktiraf.Bak kata pepatah " kerana nila setitik habis susu sebelanga rosak". "Seekor kerbau membawa lumpur habis semua yang lain terpalit sama".

Kerajaan dan kementeriaan yang berwajib perlu membuat sesuatu.Masalah doktor palsu ini sudah lama berlaku.Mungkin sekarang ini masih beratus doktor palsu sedang enak berkhidmat di klinik-klinik swasta dan mendapat gaji yang tinggi.Tanpa rasa bersalah mereka ini menyamar dengan gelaran doktor ke sana ke mari.Menipu orang ramai.Entah-entah sudah ramai yang mati atau menjadi mangsa akibat kerja-kerja tangan palsu mereka ini.Jangan sudah terhantuk baru tengadah.Macam pahat dengan penukul,sekali ketuk sekali menusuk.Bila diam isu ini maka kerajaan pun diam.

Bertindaklah segera.Korek sampai ke dasar.Jangan bagi muka kepada manusia berhati binatang ini.Mereka ini sakit jiwa.Bagaimana manusia yang sakit jiwanya ingin memberi rawatan?.Mereka tidak mampu untuk merawat diri sendiri ada hati ingin merawat orang lain.Dan bukan dalam bidangnya.Banyak keburukan dari baiknya.Kalaupun pesakit itu sihat atau terselamat mungkin itu kebetulan.Selalunya doktor palsu ini mendapat latihan asas dari mana-mana pusat latihan perubatan.Dengan sedikit ilmu yang mereka pelajari itu membuatkan mereka lebih yakin dan berani menipu.

Standard rawatan asas di klinik swasta perlu diadakan.Sekarang,kalau pesakit pergi jumpa doktor di klinik atas hospital swasta, tidak banyak pemeriksaan yang dilakukan.Hanya lekatkan stateskop di dada atau belakang pesakit, periksa tekanan darah, borak sikit selesailah sesi rawatan.Kalau pesakit menghidap selesema, doktor sekadar pegang anggota badan pesakit, periksa suhu badan,  kemudian tanya beberapa soalan asas terus selesai.Kemudian ubat diambil di kaunter.Jika hanya itu sahaja cara rawatan dibuat maka penulis pun berkeyakinan untuk menjadi 'doktor'.

Mana-mana klinik pun kebanyakannya begitu prosedur rawatannya,cukup mudah,senang dan ringkas.Ubat-ubat terentu sudah tersedia di klinik,pesakit yang menghidap sakit ringan seperti selsema, demam panas dan seumpamanya sudah dihafal oleh doktor.Doktor palsu yang punyai ilmu asas atau yang pernah bertugas sebagai Pembantu Perubatan pun pasti mahir hal-hal begini kerana kebanyakan hospital kerajaan mereka ini yang bertugas merawat pesakit yang cedera ringan atau demam-demam biasa.

Cegahlah sebelum merebak.Sebelum virus doktor palsu ini menjadi sebati dengan bidang perubatan swasta negara maka wajar kerajaan bertindak segera.Keselamatan pesakit perlu diambilberat.Keyakinan dan kepercayaan pesakit dan masyarakat terhadap profesion kedoktoran ini perlu dijaga.Jangan biarkan "DOKTOR PALSU"  ini mengaburi mata masyarakat.Mencegah itu lebih baik dari merawat.Paling utama jangan ada pihak yang kena rasuah dalam hal ini.Andai rasuah juga menjadi galang ganti maka kes doktor palsu ini sampai bila pun tidak mampu dibanteras.Fikir-fikirkanlah..


Wednesday, December 1, 2010

PIALA AFF SUZUKI : Malaysia terkulai lunyai...

Mutu bolasepak negara masih jauh dari taraf dunia,usahkan dunia, serantau pun belum layak untuk bersaing.Kekalahan 5-1 di tangan jiran terbaik kita iaitu Indonesia sudah menceritakan segala-galanya pasal mutu bolasepak negara.Memalukan dengan perwatakan yang dipamerkan pemain negara.Lembik, lemah skill individu, teragak-agak, lambat bertindak,lemah membaca permainan, banyak menunggu bola, hantaran yang tidak sampai,kawalan ke atas lawan yang terlalu longgar dan pelbagai kelemahan yang tidak sepatutnya ditunjukkan oleh mereka yang mewakili maruah negara.

Kekalahan perkara biasa dalam setiap pertandingan.Sudah adatnya begitu,ada kalah dan menang.Cuma mutu dan skill pemain negara cukup memalukan.Sesiapa menonton secara langsung di Channel 813, Astro pasti akan dapat melihat apa yang sebenarnya ditunjukkan oleh setiap pemain negara.Masih banyak yang perlu dipelajari.Asas pun masih belum mantap.Tiga pemain negara mengawal seorang pemain Indonesia pun masih tidak mampu masakan ingin memenangi perlawanan tersebut.Kesilapan-kesilapan mudah yang dipamerkan oleh pemain negara telah membuka ruang kepada pemain Indonesia untuk menjaringkan gol.

Penjaga gol juga banyak menyumbang kepada kekalahan yang memalukan itu.Kesilapan penjaga gol membaca gerakan dan hantaran pemain lawan telah memungkinkan gerakan lawan lebih senang untuk menjaringkan gol.Barisan pertahanan juga tidak banyak mengekang asakan lawan.Banyak bola mudah menembusi pertahanan terakhir negara.Kekangan ke atas setiap pemain lawan juga tidak begitu kemas,gerakan dan asakan penyerang lawan mudah dan begitu senang mengelirukan pertahanan negara.

Sikap suka menunggu bola juga membuatkan rentak permainan pasukan negara serba tidak menjadi.Gol pertama Indonesia tidak sepatutnya terjadi jika Asrarudin Putra bijak membaca gerakan lawan.Sikap tidak berjaga-jaga dan tidak bijak membaca permainan telah menyebabkan Indonesia mendapat gol percuma.Asrarudin telah menjadi duri dalam daging kepada pasukan negara kerana banyak kesilapan yang berpunca darinya telah memungkinkan Indonesia menambah jaringan gol.Apa pun itulah bolasepak Malaysia..hanya gah pada gaya,mutu permainan masih seperti pasukan bawah 18 tahun MSSM.Belum cukup untuk bersaing di pentas Asean, Asia apatah lagi peringkat dunia.Mutu bolasepak negara masih ketinggalan.

SESUDAH ZUHUR : PRU13 semakin hampir mungkin sebelum TAHUN BARU CINA 2011.

Dengan tertangguhnya Pemilihan UMNO pelbagai peringkat pada tahun hadapan maka dapatlah disimpulkan bahawa semboyan PRU13 bakal dibunyikan.Sudah berlaku keadaan seperti ini seperti pemilihan UMNO 1999 juga ditangguhkan semata-mata untuk memberi ruang kepada UMNO-BN memperkemaskan dan mempersiapkan segala kelengkapan untuk PRU.

Semua akaun kewangan perlu disemak dan diteliti untuk mempastikan kedudukan 'kewangan' UMNO-BN mencukupi untuk ditaburkan semasa PRU nanti.Di samping itu mana-mana kain yang carik,kain yang jarang, kain yang terkoyak sedikit,terkoyak banyak perlu ditampal atau dijahit segera.Benda dalam kain jangan ternampak oleh sesiapa terutama pihak pembangkang.Jika tidak..besar malu dan kemaluannya. 

Pemilihan UMNO perlu ditangguhkan.Ini penting jika tidak koyaknya lebih teruk dari PKR.Pelbagai isu dan tuduhan akan timbul.Kelak pembangkang pula akan ambil alih untuk membuat serangan dan tembakan.Selalunya perpecahan dalam UMNO cukup parah.Berlaku macam-macam isu dan kes.Boikot undi terhadap UMNO itulah yang selalunya terjadi.Maknanya UMNO juga bukan sebuah parti yang kukuh dan harmoni.Andai benar UMNO kukuh dan kuat masakan mereka takut untuk adakan pemilihanan?.Mesti ada sesuatu perkara yang paling ditakuti UMNO jika diadakan juga pemilihan dalam parti.

PKR sudah berjaya membersihakan partinya.Segala kudis, penyakit, gatal-gatal dan segala miang dalam parti sudah berjaya diasingkan.Mereka yang tinggal dalam parti hanya mereka yang benar-benar kuat,berkualiti, mantap jiwa dan perjuangan.PKR sudah berjaya membersihkan partinya dari segala anasir perosak.PKR kini kembali kuat, kukuh dan mantap.Bersiap sedia menghadapi PRU13 dengan penuh yakin.

PAS juga sudah selesai membuat sedikit perubahan.Walaupun tidak digembar gemburkan namun PAS bergerak dalam senyap membuat perubahan demi perubahan untuk penambaikan kepada PAS.Mereka juga siap sedia untuk bertarung dalam PRU akan datang ini.

DAP juga sedia bertanding bila-bila masa sahaja.Menunggu UMNO-BN membubarkan parlimen sahaja.Mereka tidak sedikit pun memperlihatkan kekecohan dalaman parti.DAP masih kukuh dan lenang.Pemimpin mereka masih bersatu,berpadu.

Hanya UMNO masih takut-takut untuk menghadapi pertandingan dalaman parti.UMNO begitu takut dengan perpecahan dalaman kerana setiap kali berlaku keretakan dan perebutan jawatan dalam parti pasti akan muncul masalah sampingan sehingga membawa kepada cengkaman kuasa juga menjadi lemah.

Kini pihak mana dalam keadaan runsing masih belum dapat dipastikan.Segala-galanya akan terbongkar bila PRU13 diumumkan.Pembangkang mungkin sedang menyusun 'senjatanya'.Pakatan Rakyat tidak begitu melawan segala tembakan dan panahan UMNO-BN sebelum ini mungkin mereka menunggu musim PRU13 bermula.Ia akan menjadi lebih segar dan lebih bernilai jika segala kelemahan dan keburukan dibongkar waktu itu.Rakyat mesti terpengaruh dan termakan kerana ia benda baru.UMNO kena ingat itu semua.Cuba selidik dan semak,semua menterinya, timbalan menterinya, dan semua YBnya.Apakah mereka itu suci dan bersih dari segala salah laku moral, kuasa, dan isu rasuah dan seumpamanya.Jika tidak,nahaslah...

Rakyat hari ini sudah maju,bijak menilai,bijak berfikir.Mereka tidak mudah termakan atau tertipu dengan isu rekaan atau ciptaan.Rakyat akan terlebih dahulu merujuk dengan sumber-sumber yang mereka lebih percayai sebelum mereka terima apa yang dilihat,didengar atau didedahkan kepada mereka.Rakyat sudah bijaksana.Pemimpin mana-mana parti perlu sedar akan perkara ini.

Pihak yang mampu menawarkan khidmat yang rasional dan boleh diaplikasikan secara nyata akan menang kali ini.Sekadar janji di bibir walaupun mungkin logik namun jika terlihat dengan jelas bahawa itu hanya janji pilihanraya sedangkan janji2 sebelum ini berlongok dan bertimbun belum tertunai,usahlah menambah janji.Rakyat sudah muak dan meluat.Jangan cuba memutihkan diri sendiri dengan menghitamkan orang lain.Itu sudah lapuk.budaya itu adalah budaya kitul dan mendaliar dulu-dulu.Budaya Patih Kerma Wijaya, budaya ini sudah lama dicampakkan oleh rakyat ke lubang najis.

Berjanji dengan rakyat perlu janji yang benar-benar mampu ditunaikan.Namun kalau terlihat memang mampu ditunaikan tetapi masih liat untuk dikotakan segala janji maka cukuplah penipuan itu untuk rakyat.Rakyat sudah lama dipermainkan.Cukuplah rakyat memberi undi kepada parti yang hanya bijak berjanji,namun menggunakan janji itu untuk mengekalkan kuasa.

Bersiap sedialah semua pemimpin politik dan parti politik itu sendiri.PRU13 bila-bila masa dari sekarang akan diumumkan.Segala keburukan dan kelemahan baikilah segera.Pemimpin putar alam,berundurlah segera.Pemimpin korup,pemimpin kaki betina, pemimpin kaki rasuah, pemimpin kaki kelab malam, pemimpin kaki judi cepat-cepatlah berundur sebelum rakyat jatuhkan.Sedar dan insaflah dari sekarang.Parti perlu diutamakan.Jangan pentingkan diri sendiri.Kelak bukan setakat diri yang tewas,parti juga turut hancur sama.